nicol david

Nicol David, Ratu Squash Negara Ungguli Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia!

Tahniah diucapkan kepada Datuk Nicol David, Ratu Skuasy Negara yang juga bekas juara juara dunia sebanyak lapan kali apabila dinobatkan sebagai Pemenang Atlet Terunggul Sepanjang Zaman semalam apabila menerima undian sebanyak 318,943 undian yang diadakan secara dalam talian sejak 8 Januari lalu.

Jumlah undian yang diterima Nicol David itu jauh meninggalkan pencabar utamanya yang juga legenda tarik tali Ireland, James Kehoe yang menerima 113,120 undian untuk berada di tempat kedua. Legenda powerlifting Ukraine, Larysa Soloviova pula berada di kedudukan ketiga dengan 80,790 undian.

nicol david

Tahniah buat lagenda sukan squash negara ini diatas kejayaan yang telah dicapai, anda adalah kebanggaan negara! Ucapan tahniah juga dizahirkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Beliau berkata, kejayaan Nicol David itu berupaya menjadi pembakar semangat, terutama kepada generasi muda untuk melangkah lebih jauh dalam bidang diceburi.

Tahniah Nicol.

Anda Kebanggaan Negara.

Saya ingin berkongsi rasa bangga bersama seluruh peminat sukan tanah air, khususnya skuasy atas kejayaan bekas Ratu Skuasy Negara, Datuk Nicol Ann David yang baru sahaja dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia semalam.

Kemenangan itu membuktikan sumbangan, keringat dan aksi beliau selama ini terus diperhatikan dunia walaupun bekas pemain nombor satu dunia selama 109 bulan berturut-turut itu telah menggantung raket.

Saya berharap kejayaan Nicol dapat menyuntik motivasi kepada seluruh rakyat Malaysia untuk berjuang mengharumkan nama negara dalam apa jua bidang yang diceburi.

Kepada generasi muda yang baru berjinak-jinak dengan sukan ini dan pemain pelapis yang sedang mengembangkan prestasi, jadikan kejayaan Nicol sebagai pembakar semangat untuk melangkah lebih jauh.

Dengan iltizam yang betul dan usaha yang bersungguh-sungguh, tidak mustahil anda semua mampu menjadi seperti Datuk Nicol Ann David.

Tahniah Nicol.

Syabas Malaysia.

Ciapan dari Facebook page Perdana Menteri Malaysia.
nicol david

Anak kelahiran Pulau Pinang yang dilahirkan pada 26 Ogos 1983 ini mempunyai pakej atlet serba boleh yang lengkap kerana bukan sahaja cemerlang dalam sukan, malah cemerlang juga dalam pelajaran. Mana tidaknya, Nicol David pernah mendapat keputusan 7A dalam Penilaian Menengah Rendah dan juga 7A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

Tidak hairan jika beliau diangkat sebagai idola kepada zaman muda kita dahulu. Nicol juga pernah diberi penghormatan membawa obor Olimpik sebagai wakil Malaysia untuk Sukan Olimpik Athens pada tahun 2004. Satu penghormatan buat dirinya sendiri.

Nicol David mula bermain skuasy sewaktu berusia lima tahun, beliau kemudiannya mula menerima bimbingan jurulatih ketika berusia lapan tahun. Bakatnya dikenal pasti oleh Ee Phoeh Hoon ketika berlatih di Pusat Skuasy, Bukit Dambar. Ee yang kagum dengan bakat Nicol kemudiannya meyakinkan beliau untuk menyertai perlawanan skuasy mewakili Pulau Pinang.

nicol david

Beliau mula menyertai kejohanan skuasy pada tahun 1992 dan menggondol pingat perak dalam kategori Bawah-14 Kejohanan Junior Pulau Pinang. Pada tahun yang sama, beliau mendapat kemenangan sulungnya di peringkat kebangsaan di Kejohanan Antara Negeri Junior Kebangsaan Milo-Dunlop Sport, di mana beliau mendapat pingat perak dalam kategori Bawah-16.

Pada tahun 1994, Nicol dipilih untuk menyertai pasukan skuasy negeri Pulau Pinang untuk temasya Sukan Malaysia, apabila beliau membantu skuad negeri menggondol pingat emas dalam acara pasukan, walaupun jatuh sakit ketika itu. Pada tahun yang sama, beliau meraih dua gelaran antarabangsa pertamanya, iaitu Hong Kong Bawah-13 dan Terbuka Junior Scotland Bawah-12.

Sejak dari itu, kejayaan demi kejayaan dan dominasi Nicol kian terserlah dan memuncak! Pernah menjadi pemain no.1 dunia selama 109 bulan berturut-turut merupakan rekod gila yang sukar untuk ditandingi pemain-pemain yang lain. Memang tidak dinafikan kejayaan yang dicapai ini bersesuaian dengan apa kejayaan yang telah beliau kecapi hasil usaha yang jitu!

nicol david

Diharapkan dominasi sukan squash negara kita diperingkat dunia dapat dikekalkan walaupun sukar untuk mencari ganti yang sama seperti Nicol. Terima kasih buat Nicol David kerana telah mewarnai sukan negara dengan kilauan kejayaan yang amat membanggakan. Terima kasih!

Sumber:

  1. Wikipedia
  2. Facebook

Jangan lupa untuk follow sosial media kami bagi mengikuti berita sensasi dan menarik! Terima kasih kerana menyokong kami kakibawang.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *