kepala air

Bahana Kepala Air

Fenomena kepala air sering berlaku apabila aliran air sungai yang deras akibat daripada hujan lebat di kawasan anak sungai atau hulu sungai dan mengalir laju ke sungai utama. Fenomena ini berlaku ketika hujan lebat dan cuaca tidak menentu.

Kita sering digemparkan dengan berita kematian lemas yang menyayat hati yang berpunca daripada hanyut dibawa air ketika musim tengkujuh. Kejadian lemas di sungai, kolam, tasik, lombong dan dihanyutkan arus kepala air saban tahun kerap menghiasi dada akhbar tempatan.

Statistik yang dikumpul oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merekodkan lebih 300 kematian akibat lemas dicatatkan di seluruh negara setiap tahun dan angka itu meningkat ketika musim tengkujuh. Ini dilihat agak membimbangkan kita terutama ibu bapa yang perlu memberi pemantauan yang lebih terhadap anak-anak.

Hal ini demikian adalah kerana sudah menjadi perkara kebiasaan bagi majoriti rakyat Malaysia apabila setiap kali tiba musim cuti terutama cuti sekolah, cuti umum atau hujung minggu, mereka akan beriadah di kawasan rekreasi air. Di sini akan wujud peratusan kemungkinan untuk berlakunya kejadian kes orang lemas sekiranya masyarakat sendiri mengabaikan aspek keselamatan di kawasan rekreasi air.

Ramai orang masih tidak peduli mengenai keselamatan mereka di taman rekreasi air walaupun papan tanda amaran dan bendera merah diletakkan untuk keselamatan mereka. Kebanyakan kes kepala air yang terjadi dalam kemalangan adalah orang luar iaitu mereka yang tidak mahir kerana mereka tidak biasa dengan persekitaran di kawasan rekreasi air serta arus air.

Video dari Youtube Channel: malaysian viral II

Tanda tanda

Antara tanda berlaku fenomena kepala air ini adalah cuaca yang gelap di kawasan puncak bukit (hulu sungai) yang menandakan hujan di kawasan berkenaan. Seterusnya adalah bunyi dentuman gerakan batu-batan atau air dari hulu sungai yang berlaga. Selain itu, simptom lain adalah air sungai yang meningkat naik secara tiba-tiba dan air berubah warna kepada kekuning-kuningan secara tiba-tiba.

Tanda-tanda lain adalah air sungai berbuih dengan jumlah buihan yang banyak di permukaan. Siren amaran juga akan dibunyikan sekiranya kepala air dikesan. Walau bagaimanapun, tidak semua tempat atau kawasan seumpama ini mempunyai siren amaran bagi memberi amaran kepada pengguna di kawasan itu.

Jika anda dapat melihat semua tanda-tanda ini, segera tinggalkan tempat itu. Jangan teragak-agak atau tidak mengambil kisah kerana ianya akan membawa padah sekiranya tiada tindakan dari diri sendiri.

227093 215675048460158 186773918016938 801831 8263662 n

Kepala air atau sumber sungai bermaksud gelombang aliran air mengejut dalam kuantiti yang besar mengalir dari kawasan yang tinggi (hulu sungai) atau air terjun ke sungai utama. Kebiasaannya kejadian ini berpunca daripada hujan lebat yang berlaku di kawasan hulu sungai. Aliran kepala air ini boleh terjadi apabila berlaku hujan yang sangat lebat dan ianya boleh membawa segala macam benda seperti batu, kayu balak, sampah sarap dan keladak. Bahayanya aliran air ini adalah ianya akan merempuh apa sahaja yang ada di hadapannya.

 papan tanda amaran kepala air

Pencegahan Jangka Pendek

Antara langkah pencegahan jangka pendek yang boleh dilaksanakan adalah seperti meletakkan papan tanda amaran bahaya, maklumat berkenaan risiko kemalangan yang akan dihadapi, penyediaan siren amaran kecemasan dan adanya pengawal keselamatan yang berpengalaman dalam menghadapi situasi cemas.

Seterusnya pihak berwajib perlu menyediakan satu mekanisme pengurusan risiko yang mudah dihadam dan garis panduan bersesuaian yang mesra pengguna seperti rekod kedatangan pengunjung (kini ada MySejahtera yang berfungsi seperti 2 dalam 1 iaitu boleh digunakan untuk mengesan kehadiran orang awam dan membantu juga sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini) sekiranya orang awam datang ke tempat yang berisiko.

Ini bertujuan untuk memudahkan aktiviti pengesanan pelawat sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini ini terjadi. Ini amat penting jika berlaku kemalangan. Data dan statistik berkaitan kemasukan pelawat di kawasan itu dapat dipantau dan keselamatan lebih terjamin. Justeru, pembabitan semua pihak dalam menangani isu ini dapat mengelak kejadian seumpama ini pada masa depan.

maxresdefault 3
Kawasan yang tenang boleh bertukar menjadi kawasan tragedi sekiranya anda ambil mudah

Kejadian lemas juga boleh dielakkan jika perhatian serius diberi terhadap aspek keselamatan sebelum memasuki air. Ia bermula dengan kesedaran diri, berhati-hati sebelum melakukan apa-apa kegiatan yang berkaitan dengan air, antara langkah berjaga-jaga yang perlu dilakukan orang ramai termasuk memeriksa ramalan cuaca serta kesihatan diri kerana jika tidak sihat, mungkin lebih sukar melawan arus air yang kuat.

Selain itu, bawa bersama jaket keselamatan, pelampung keselamatan untuk kanak-kanak dan beberapa tali, lebih baik bersedia kerana kita tidak akan tahu apa yang akan berlaku di sana selain sentiasa periksa sama ada tapak rekreasi berisiko tinggi atau tidak

Artikel Menarik

Semoga artikel ini bermanfaat buat semua para pembaca. Jangan lupa untuk follow sosial media kami bagi mengikuti berita sensasi dan menarik! Terima kasih kerana menyokong kami kakibawang.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *